Pelancongan Selama

Seni Warisan

Galeri Keris Pak Din Komando

PakDin

Seni pembuatan keris dan sarung ini diusahakan oleh Encik Abdul Wahab Bin Hassan atau dikenali sebagai Pak Din Komando. Galeri ini terletak di Kampung Bagan Baru, Selama. Beliau juga mempunyai pelbagai koleksi barangan antik. Antara koleksi yang dimiliki beliau adalah kayu surian batu, keris-keris lama, gobek api lama, kereta dan motor antik, gramophone piring hitam, pedang, senjata dan pelbagai barangan antik lain. 

Seni pembuatan keris dan sarung juga merupakan warisan turun temurun daripada keluarga Encik Abdul Wahad sendiri. Beliau merupakan seorang bekas komando. Selepas menamatkan perkhidmatan sebagai tentera, beliau melalukan kerja-kerja kampung seperti bercucuk tanam dan menternak haiwan.

Pak Din juga telah membuat kajian berkenaan kayu surian yang mengambil masa selama 5 tahun. Hasil kajian tersebut membolehkan Pak Din memperkenalkan kayu surian ini secara eksklusif. Antara tempat yang sesuai untuk menanam pokok Surian Batu ini ialah di kawasan Larut Taiping kerana suhu di kawasan tersebut sesuai untuk tanaman ini. Pokok Surian Batu ini juga tumbuh di kawasan-kawasan seperti tepi sungai dan kawasan yang bergunung-ganang. 

Selain itu, Pak Din mempunyai lebih 100 koleksi keris yang dipamerkan di galerinya. Pembuatan keris dan sarung dihasilkan di bengkel yang diberi nama Bengkel Surian. Beliau juga menerima tempahan bagi ukiran sarung senjata Melayu tradisional seperti golok, keris, pedang dan lain-lain.

Rumah Bertam

Mahligai unik ini telah dibina oleh Encik Mustafa yang diperbuat daripada anyaman pokok bertam. Ia telah menjadi lokasi pelancongan di Kampung Telok Mas dan juga sekitar daerah Selama. Beliau telah mendapat idea untuk mendirikan rumah berkonsepkan kayu bertam selepas beliau mengunjungi sebuah muzium di Kuala Lumpur yang mempamerkan rumah berkonsepkan kayu bertam. 

Rumah uang dimiliki Encik Mustafa ini telah mengambil masa selama 5 tahun untuk disiapkan sepenuhnya. Beliau telah membina rumah yang berkonsepkan Melayu tradisional. Sebanyak 80% daripada pembinaan rumah bertam ini adalah hasil rimba. Beliau juga telah menjadi rujukan kepada sesetengah pihak yang ingin mendapatkan maklumat berkaitan dengan hasil seninya.

Mahligai ini didiami oleh Encik Mustafa dan ahli keluarganya. Beliau merupakan seorang penternak haiwan di mana beliau mempunyai beberapa kolam penternakan udang air gunung. 

Mahligai ini juga menjadi pilihan lokasi penggambaran para pengarah filem. Antara filem yang pernah dilakonkan di mahligai ini ialah telefilem Cah, Alam Ria Kanak-Kanak, Anjung Bestari, Tikar Buruk dan Bidadari. 


Hakcipta Terpelihara © 2023 Majlis Daerah Selama. Sesuai dipapar menggunakan IE versi 9 & ke atas, Mozilla Firefox versi 6.0 ke atas dan Google Chrome 13.0 ke atas dengan resolusi 1024 x 768 ke atas. Kemaskini : 28/09/2024 | Jumlah Pelawat : 4953589